ILP KANGAR LAKSANA PEMERIKSAAN, PENDAWAIAN ELEKTRIK PERCUMA UNTUK PENDUDUK PERLIS

ARAU, 26 Ogos- Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kangar melaksanakan Program Pemeriksaan dan Pendawaian Elektrik secara percuma di kediaman penduduk kampung khususnya dalam kalangan keluarga kurang berkemampuan di seluruh Perlis.

Pengarah ILP Kangar, Mohd Yusri Mohd Rahim berkata, sejumlah RM1,500 diperuntukkan bagi setiap rumah untuk program berkenaan yang akan dilaksana oleh enam pelatih dan dibantu enam tenaga pengajar.

"Objektifnya kita nak mereka mengaplikasikan kemahiran yang ada dan menerapkan nilai-nilai murni seperti tolong-menolong, secara tidak langsung mempromosikan kemahiran mereka.

Program ini dilaksana secara berkala di semua 15 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) setempat mengenai rumah penduduk yang memerlukan bantuan bagi pendawaian elektrik," katanya selepas Program Bantuan Khidmat Sosial Komuniti di Kampung Padang Benta, Simpang Empat.

Sementara itu Exco Negeri yang juga ADUN Simpang Empat, Nurulhisham Yaakob berharap ILP Kangar dapat terus bekerjasama dengan pemimpin setempat bagi melaksana program khidmat komuniti.

"Saya harap kepada penghuni dan rakyat kawasan DUN Simpang Empat, sekiranya ada masalah untuk pendawaian elektrik, boleh berhubung dengan pejabat saya atau mana-mana agensi yang dapat membantu," katanya selepas meninjau salah sebuah kediaman yang terlibat dengan program berkenaan.