PENGENALAN INSTITUT

 

Institut Latihan Perindustrian Kangar ( ILP Kangar ) merupakan salah sebuah Institut Latihan Perindustrian Jabatan Tenaga Manusia di bawah Kementerian Sumber Manusia yang terletak di negeri paling utara tanahair iaitu negeri Perlis. Ia mula dicadangkan Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri pada tahun 1994 dan telah diketengahkan dalam Rancangan Malaysia Ke Tujuh ( RMK-7 ) bagi tempoh 1996 hingga 2000 di bawah bab ke 10 iaitu Bab Pendidikan Dan Latihan yang memperuntukkan kepada Jabatan Tenaga Manusia 3 institut latihan kemahiran diperingkat Diploma Kemahiran dan 5 institut latihan kemahiran di peringkat Sijil Kemahiran. Majlis Perletakan Batu Asas dan Upacara Pecah Tanah telah disempurnakan oleh Mantan Menteri Besar Perlis iaitu YAB Dato’ Seri Shahidan Bin Kassim pada hari Isnin 23 Mac 1998. Ia dibina di atas tapak pertanian sawah seluas 40.9 ekar. Nilai keseluruhan bangunan dan peralatannya selepas ia siap dibina dianggarkan berjumlah RM100 juta dan berkeupayaan melatih sehingga 600 orang pelajar pada satu-satu masa. 

Sebanyak 13 bangunan telah didirikan termasuk bangunan pentadbiran, bangunan latihan, bangunan kediaman kakitangan, bangunan kediaman pelajar dan bangunan fasiliti. Penempatan kakitangan telah bermula pada tahun 2000 dengan kekuatan 25 orang kakitangan dengan 2 daripadanya termasuk Pengarah ditempatkan di bahagian pentadbiran dan selebihnya di bahagian latihan. Misi utamanya adalah membangunkan pejabat pentadbiran, penempatan pelajar dan bengkel-bengkel latihan. Bengkel-bengkel latihan yang dibangunkan pada ketika itu adalah Bengkel Automasi Perindustrian, Bengkel Fabrikasi Logam, Bengkel Elektronik Perindustrian, Bengkel Instrumen Perindustrian, Bengkel CNC, Bengkel Elektro-mekanikal dan Bengkel Teknologi Komputer. 

Setelah 2 tahun berlalu akhirnya, ILP Kangar dirasmikan pembukaannya secara televideo pada 11 Januari 2003 yang juga disempurnakan oleh Mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Bin Haji Ahmad Badawi. Perasmian ini dilakukan serentak bersama perasmian 7 buah ILJTM lain yang telah siap dibina iaitu ILP Kota Kinabalu, ILP Kota Samarahan, ILP Pedas, ILP Ledang, ADTEC Shah Alam, ADTEC Kulim dan JMTI Pulau Pinang. Namun begitu, pengambilan kumpulan pelajar pertama berjumlah 45 orang telah pun dilakukan pada sesi Julai 2001. Apa yang menariknya adalah konvokesyen kumpulan pelajar ini adalah konvokesyen yang telah berlangsung dengan gemilangnya di ILP Kangar bagi peringkat ILJTM zon utara. 

Kini, 5 bengkel yang terdapat di Institut Latihan Perindustrian Kangar telah dijenamakan semula dengan penambahan perkataan ‘Teknologi’ dengan 2 daripadanya telah bertukar bidang menjadi Bengkel Teknologi Mekatronik, Bengkel Teknologi Mekanik Industri, Bengkel Teknologi Fabrikasi Logam, Bengkel Teknologi Instrumen Perindustrian dan Bengkel Teknologi CNC. 

Tragedi Bah Besaq Perghlih atau Banjir Besar Perlis telah berlaku pada Disember 2005 yang mengakibatkan kerosakan terhadap bangunan, mesin dan perabot yang dianggarkan berjumlah RM 10 juta dan melumpuhkan aktiviti latihan selama hampir 9 bulan. Manakala Tragedi Banjir Besar Perlis yang lebih dahsyat pada November 2010 telah mengakibatkan kerugian yang dianggarkan berjumlah RM 5 Juta dan telah melumpuhkan aktiviti latihan selama hampir 6 bulan. Hasil pengubahsuaian bangunan, pembelian perabot yang bersesuaian dan pelan tindakan yang baik telah berjaya mengurangkan jumlah kerugian dan tempoh lumpuh aktiviti latihan. Mudah-mudahan musibah yang datang menjadi pengajaran bersama bagi menjauhkan dan mengatasinya.

Selepas 10 tahun perasmiannya ILP Kangar seringkali dipilih bagi menjalankan aktiviti diperingkat kebangsaan dan peringkat negeri. Antaranya adalah Kursus Haji Perdana yang diadakan setiap tahun mulai 2002, Perasmian ICT peringkat negeri Perlis, Konvokesyen Graduasi ILJTM Zon Utara, Konvensyen KMK peringkat ILJTM Zon Utara, Sukan Antara ILJTM Peringkat Kebangsaan dan Pertandingan Nasyid Antara ILJTM Peringkat Kebangsaan. 

Berikut merupakan nama-nama pengarah dan pemangku pengarah yang pernah dan sedang menerajui ILP Kangar. 

1.         En Abdul Halim Bin Abdul Rahman (2000 hingga 2004)

2.         En Mohd Zamri Bin Mansor – Memangku (1/7/2004 hingga 1/7/2005) 

3.         Pn Norliza Binti Yaakob (2/7/2005 hingga 1/1/2008) 

4.         En Azizi  Bin Bahari – Memangku (2/1/2008 hingga 2/3/2008) 

5.         Tn Haji Mgt Husain Bin Mgt Jaaffar (3/3/2008  hingga 8/2/2-14) 

6.         En Mohd Zamri Bin Mansor – Memangku (9/2/2014 hingga 1/6/2014) 

7.         En Muhamad Nasir bin Samat  ( 2/6/2014  hingga sekarang )