MAJLIS PENUTUP PROGRAM CNC MILLING MACHINIST ILP KANGAR

Program CNC Milling Machinist merupakan satu program kerjasama yang membuka peluang latihan kemahiran dan kerjaya kepada asnaf di negeri Perlis yang julung kali diadakan antara Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM), syarikat Leader Range Technology Sdn Bhd dan ILP Kangar. Ketiga-tiga entiti ini memberikan sumbangan besar melalui dana yang disalurkan oleh Akademi Transformasi Asnaf MAIPs, manakala syarikat Leader Range Technology Sdn Bhd pula menawarkan peluang kerjaya setelah peserta program ini menamatkan latihan selama tiga bulan di ILP Kangar.
Program ini dirangka untuk memberikan latihan kemahiran secara intensif dalam bidang teknologi pembuatan (pemesinan) khusus kepada operasi mesin CNC Milling yang mendapat permintaan tinggi daripada industri. Dalam tempoh tiga bulan pelaksanaan program CNC Milling Machinist ini, pelatih diberikan latihan teori dan praktikal secara latih tubi menggunakan mesin CNC Milling yang digunapakai oleh industri.
Satu Majlis Penutup telah diadakan bagi meraikan peserta, serta sebagai satu bentuk penghargaan kepada ATAM dan syarikat Leader Range Technology Sdn Bhd dalam menjayakan program CNC Milling Machinist ini.